Sunday 4 December 2011

Hijau, Alam dan Islam



Pernahkah anda mendengar atau terbaca mengenai hijau?Tentang teknologi hijau? Rumah hijau? Bukanlah ingin mengutarakan idea mengenai teknologi hijau mahupun rumah hijau, cuma ingin membicarakan mengenai “hijau” itu sendiri.


Pelbagai definisi kita boleh dapatkan melalui perkataan ‘hijau’, bergantung kepada cara pemikiran dan pandangan seseorang individu.Setiap kali memandang kehijauan alam sekitar, kita akan terasa damai, tenang dan aman. Secara psikologinya sebegitulah. 

Warna hijau juga dianggap sebagai warna tradisi untuk agama Islam, disebabkan perkaitannya dengan alam semula jadi. Nabi Muhammad disebut dengan pasti dalam hadis sebagai berkata bahawa 
"air, tumbuhan-tumbuhan hijau, dan wajah yang jelita" 
merupakan tiga benda sejagat yang baik. Selain itu, dalam sura Al-Insan di dalam al-Quran, pengikut-pengikut Allah di Jannah dikatakan memakai sutera hijau yang bagus sekali.

Jika diteliti, Islam menjuarai alam sekitar di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Secara ringkasnya, bagaimana Islam menitikberatkan isu tersebut boleh dilihat seperti berikut:
1. Sejak awal ciptaan manusia, Allah telah memberikan amanah untuk kita menjadi khalifah atau wakil pengurus alam ini. Dengan sebab itulah Allah mengajar nabi Adam nama setiap ciptaannya satu persatu supaya dihargai dan dijaga semua itu. Firman Allah dalam surat al-Baqarah ayat 30-31:
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لا تَعْلَمُونَ  . وَعَلَّمَ آدَمَ الأسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلائِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَؤُلاءِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang Yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.
Dan ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu ia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar”.

Dengan erti kata lain, memang sejak awal lagi Allah telah menghubungkan manusia dengan alam. Justeru, adalah kurang tepat sekiranya muslim hanya membicarakan mengenai hablun minallah dan hablun minannas, akan tetapi membiarkan sahaja hablun minal alam, iaitu hubungan dengan alam sekitar.
2. Islam mengajar supaya kita sentiasa mengenang budi. Kita mengetahui bahawa diri kita ini dicipta daripada unsur alam, seperti tanah air dan lain-lain. Maka sewajarnya kita menghargai semua anasir diri kita ini dengan cara memelihara dan memuliharanya. Firman Allah SWT dalam surah Hud ayat 61:
وَإِلَى ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُمْ مِنْ إِلَهٍ غَيْرُهُ هُوَ أَنْشَأَكُمْ مِنَ الأرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا فَاسْتَغْفِرُوهُ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ إِنَّ رَبِّي قَرِيبٌ مُجِيبٌ
Dan kepada kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh. Dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadanya Dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya”.
3. Al-Quran juga telah lama menyentuh mengenai kerosakan dan pencemaran alam. Ironisnya, kerosakan dan pencemaran itu dikaitkan dengan perbuatan manusia. Firman Allah SWT di dalam surah al-Rum ayat 41:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Telah berlaku kerosakan di darat dan di laut kesan daripada perbuatan manusia, demikian (supaya Allah) merasakan kepada mereka terhadap (kerosakan) yang mereka lakukan, semoga mereka kembali bertaubat.

4. Selain itu di dalam al-Quran, ada beratus-ratus ayat mengenai alam sekitar yang sepatutnya menuntut kita berfikir. Allah bercerita mengenai air, langit, bumi, tanah, bukit, gunung-ganang, fenomena alam sekitar, bulan, bintang dan matahari, semua itu antara lain adalah untuk kita bersyukur dan mengharga ciptaan-ciptaan itu semua.
5. Terdapat juga beberapa ibadah yang hijau perlaksanaannya. Sebagai contoh, mungkin suatu masa dahulu ramai yang tertanya-tanya apakah hikmah lain mengapa diharamkan kepada para jemaah haji yang berihram daripada memotong pokok tumbuhan di Makkah. Rupa-rupanya, para ulamak menyatakan yang hikmah saintifiknya dapat dikesan sekarang, iaitu dengan 3 juta umat manusia berkumpul di Makkah dalam satu masa, maka sudah tentu mereka memerlukan bekalan oksigen yang dikeluarkan daripada pokok tumbuhan. Justeru, perlu dipelihara pokok-pokok tersebut. Ibadah haji mungkin contoh kecil mengenai ibadah hijau dan mesra alam. Akan tetapi muslim perlu memperluaskan perlaksanaannya dalam konteks yang lain.
6. Semua akhak Muslim yang diajar oleh nabi Muhammad SAW sebenarnya adalah untuk kebaikan diri sendiri dan juga makhluk lain termasuklah alam. Sebagai contoh, nabi melarang kita membazir di dalam berwudu’ walaupun sumber air itu adalah percuma, seperti yang saya tulis dalam artikel sebelum ini. Di dalam Islam juga dilarang daripada tamak dan berlebih-lebihan, dan yang paling baik adalah sederhana. Sifat tamak manusia inilah menjadi penyumbang utama terhadap pencemaran alam.

sumber : 
1. http://abidfana.com/
2. http://ms.wikipedia.org/wiki/Hijau
3. Al-Quran Al-Karim





No comments:

Post a Comment