Monday 12 December 2011

Hijau-Pandangan Seorang Kawan

Sekali lagi mengenai hijau. Wacana ini terhasil sementelah mendapat tugasan terakhir untuk kursus rekabentuk (baca: design). Kami ditugaskan membuat pavilion berdasarkan muzik instrumental. Di kala proses pencarian lagu, aku teringat akan Mozart Pachelbel, Canon in D. Lagu kegemaran yang seringkali aku mainkan suatu ketika dahulu secara duet dengan seorang kawan. Kebetulan, aku terbuka fail dokumen kursus ini, maka aku teringat akan kata-kata pasangan duet aku tersebut.

Aku : Apa pendapat kau tentang dunia kini?
Kawan : Kalau cerita pasal dunia, aku cuma gemar membangkitkan mengenai kehijauan muka     bumi kita kini.
Aku : Teruskan
Kawan : Bagi aku, bumi sekarang sememangnya dah tersangat tenat, tersangat kritikal sebagaimana aku kini
Aku : Maksud?
Kawan : Seolah manusia yang mendapat tahu mengenai penyakit kronik yang tidak dapat diubati lagi, seperti aku. Tanah semakin lama semakin gondol, semakin hari suhu meningkat. Seperti paru-paru aku yang semakin lama semakin lemah ia berfungsi.
gambar ihsan 9gag.com

3 hari selepas perbualan tersebut berlaku, sahabat aku kembali ke rahmatullah. Semoga beliau ditempatkan dalam kalangan manusia yang beriman, insya-Allah.

Monday 5 December 2011

Pendapat Tentang Dunia.

Mengimbas kembali perbualan dengan seorang sahabat, sedikit sebanyak telah mengganggu pemikiran dan fahaman aku tentang alam sekitar.

"Kenapa nak semangat sangat jaga alam sekitar? sustainable? ecology? Dunia sekarang dah teruk, takde apa dah kita boleh buat. Kalau setakat buat projek based on ecology and sustainable pun mcm dah takde guna. We can't repair the world. Projek mcm tu is like one dot on the earth. The rest? Fikir sendiri lah."

Manusia. Senangnya berkata-kata. Aku pelik. Ya, memang betul apa yang dikatakan. Memang betul. Tapi itulah masalah dunia, apabila semua orang berfikiran sedemikian. Aku masih berpegang kepada tiada apa yang mustahil. Segala perubahan yang boleh berlaku sentiasa dimulakan dengan perubahan kecil, biarlah sekecil kuman sekali pun. Andai kata setiap manusia mempunyai semangat untuk berubah, andai kata setiap manusia menyedari kepentingan sesuatu perubahan dan impaknya kepada dunia, aku pasti dunia ini menjadi satu tempat yang cukup aman untuk didiami. Cukup nyaman.

Berbalik kepada perbualan dengan seorang sahabat, katanya sudah-sudahlah dengan usaha kecil cuba memperbaiki dunia. Apa pun usaha yang aku lakukan tidak mungkin akan membuahkan apa-apa hasil. Aku terlalu kecil dalam dunia ini. Tiada impak pun yang akan dapat dilihat. Kenyataan itu agak memedihkan. Jika manusia semuanya berfikiran seperti ini, sampai bila sahajalah dunia ini mampu bertahan? Menjaga dunia tidaklah sukar jika masing-masing menginisiatifkan diri untuk menyemai rasa sayang kepada dunia dan mula mengatur langkah. Bagi aku, langkah paling mudah adalah dengan mengatakan tidak kepada plastik. Aku sangat menyokong Hari Tanpa Beg Plastik yang dilancarkan di Malaysia. Bagiku program itu mendatangkan banyak kebaikan. Secara faktanya, mungkin ya, plastik memudahkan kita, untuk jangka masa pendek. bagaimana dengan jangka masa panjang? Jika usaha semudah ini pun manusia sukar laksanakan, bagaimana dengan usaha-usaha besar yang boleh memberi impak positif yang besar kepada dunia?

Senibina yang mesra alam?Senibina yang tidak mendatangkan impak negatif kepada alam? Bagiku usaha-usaha seperti ini lah yang sangat diperlukan pada era ini. Usaha seperti ini lah yang akan membantu kita memperbaiki dunia. Aku cukup mengagumi arkitek-arkitek yang mengadaptasikan hijau dalam minda mereka, yang seterusnya diluahkan melalui lukisan dan rekabentuk.

Jika dunia ini mampu berkata-kata, aku pasti tiada kata yang mampu ia luahkan, hanya satu laungan yang nyaring untuk meluahkan segala penyeksaan yang ditanggungnya selama ini.

Aku tidak mampu berkata apa-apa. Aku hanya mampu berdoa dan berharap agar terbukalah pintu hati manusia di muka bumi ini untuk memandang setiap perkara dari sudut perspektif yang berbeza. Berharap agar mereka menerokai minda masing-masing dan berusaha berfikir di luar kotak minda. Mungkin harapanku terlalu besar. Manusia di muka bumi? terlalu banyak jumlahnya. Cukuplah untuk masa ini jika sahabat-sahabatku sahaja yang mula mengorak langkah.Tiada perubahan besar yang akan berlaku jika ianya tidak dimulai dengan perubahan kecil.


Get well soon, earth.