Sunday 4 December 2011

Kepentingan Air

1. Sumber makanan dan minuman

Manusia dan makhluk lain di muka bumi ini amat memerlukan air untuk diminum dan menghadamkan makanan di dalam perut. Allah S.W.T telah memelihara nilai air dengan sebaik-baiknya supaya kehidupan manusia tidak terjejas. Buktinya, Allah S.W.T telah mengadakan sempadan antara air tawar dengan air masin sehingga kedua-duanya tidak bercampur. Hal ini disebabkan manusia tidak boleh meminum air laut yang mengandungi garam yang tinggi. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Dan Dialah (Allah S.W.T) yang memberikan dua laut mengalir (berdampingan),yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit. Dia jadikan antara kedua-duanya dinding dan batas yang menghalangi.”
(Al-Furqan:53)


2. Sumber tenaga

Air juga dapat menjadi sumber kepada pengeluaran tenaga elektrik hidro untuk kegunaan penduduk serta pertumbuhan ekonomi. Selain daripada dapat menjana tenaga elektrik hidro, empangan air tersebut juga boleh menampung air sungai supaya tidak melimpah dan menyebabkan kejadian banjir.


3. Tempat mencari rezeki

Laut dan sungai juga dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada manusia contohnya sebagai nelayan, ahli pelayaran dan sebagainya. Di dalam laut juga terdapat sumber ekonomi, perhiasan dan sumber lain yang penting kepada manusia. Hal ini telah diterangkan oleh Allah S.W.T dalam firmanNya yang bermaksud;

“ Dan Dialah yang menyediakan lautan, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang segar dan kamu dapat pula mengeluarkan daripadanya perhiasan untuk kamu memakainya dan kamu juga dapat melihat kapal-kapal belayar padanya, supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya dan supaya kamu bersyukur”
(Al-Nahl:14)


4. Jalan Pengangkutan

Laut dan sungai juga merupakan sistem perhubungan yang amat penting sejak zaman dahulu. Ia memudahkan manusia untuk mengangkut pelbagai jenis barang bagi tujuan perdagangan dan juga untuk perhubungan manusia dari satu tempat ke tempat yang lain. Perkara ini turut diterangkan di dalam Al-Quran yang maksudnya:

“Dan Dia (Allah S.W.T) telah menyediakan bahtera bagimu supaya bahtera itu belayar di lautan dengan kehendak-Nya.”
(Ibrahim:32)


5. Alat bersuci

Di dalam Islam, air merupakan sumber utama umatnya untuk menyucikan hadas kecil dan hadas besar. Air yang digunakan untuk menyucikan ialah air mutlak yang terdiri daripada air yang bersih dan suci seperti air hujan, air mata air, air embun, air perigi dan sebagainya. Kepentingan air untuk bersuci telah dinyatakan di dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Dan diturunkan-Nya padamu hujan dari langit buat menyucikanmu.”
(Al-Anfal:11)


sumber :
4. Al-Quran Al-Karim

No comments:

Post a Comment